Friday, July 6, 2012

KE MANA HALA TUJU MELAYU...???

PERTAHANKAN HAK UITM...!!! KALAU BUKAN MELAYU, SIAPA LAGI??? JOM RENUNG SEJENAK..


Assalamualaikum, buat pembaca semua...

Cuba kita hayati lagu rasmi Universiti Teknologi MARA (UiTM), betapa pentingnya UiTM terhadap survival kaum bumiputera amnya dan kaum Melayu khasnya. Pada hari ini sekiranya kuota untuk kemasukan bumiputera ke UiTM dimansuhkan dan dibukakan kepada bukan bumiputera, adakah nasib kita akan terbela??? Jom ikuti artikel ini.

Kita lihat sejarah bagaimana perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Malaysia dalam membangunkan kaum-kaum bumiputera terutamanya kaum Melayu. Idea bernas beliau ialah penubuhan Maktab RIDA pada tahun 1957 di Petaling Jaya, khusus ditubuhkan untuk meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran orang Melayu terutamanya dalam bidang-bidang profesional ke tahap yang setara dengan kaum bukan Melayu. Pada tahun 1965, maktab ini seterusnya ditukar nama kepada Institut Teknologi MARA (ITM) dan perjuangan untuk mendapatkan status sebagai universiti awam di negara ini terlaksana juga akhirnya dan telah diisytiharkan oleh Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tarikh keramat 26 Ogos 1999. Universiti ini membangun sepanjang perjalanan kemerdekaan negara kerana pada 26 Ogos 1999 barulah institusi ini dinaik taraf sebagai sebuah universiti.
Institusi ini sangat unik dan istimewa jika dibandingkan dengan universiti awam lain di negara ini kerana ianya tidak lahir secara-cara terus sebagai sebagai universiti. Proses menuntut ITM menjadi UiTM melalui pelbagai ranjau dan onak duri. Mereka telah ditahan dibawah akta kesalamatan dalam negeri (ISA) semata-mata untuk menuntut sebuah universiti. Makanan pelajar-pelajar di ITM Jalan Othman, telah dicatu kerana tindakan mereka menuntut pertukaran status ITM kepada UiTM pada tahun 1970-an lagi. Dan hanya pada 26 Ogos 1999 perjuangan itu terlaksana. Hanya UiTM merupakan tembok terakhir bagi memartabatkan bangsa Melayu supaya terus setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini. Mengapakah satu-satunya institusi bumiputera ini hendak diserahkan kuota nya kepada kaum bukan bumiputera? Harus diingatkan bahawa kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah. Rata-rata rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah terdiri dariada bangsa Melayu dan bumiputera. Kaum-kaum lain boleh mendapatkan pendidikan peringkat tinggi di IPTA dan IPTS lain di negara ini kerana dari segi ekonominya mereka berkemampuan malah boleh meneruskan pengajian hatta di luar negara sekalipun. Setiap universiti yang ditubuhkan ada visi dan misi penubuhannya sendiri. Kalau kita mahu mengubah, habislah keistimewaannya.

Memang tidak dinafikan di Malaysia, terdapat pelbagai etnik dan kaum, tetapi adakah dengan membuka kuota kepada kaum lain, dapat memperjuangkan nasib orang Melayu? Adakah dengan kehadiran bangsa lain di UiTM dapat melahirkan pelajar yang berdaya saing? Walaupun tanpa penyertaan kaum bukan bumiputera seperti Cina dan India, di sini pelajar-pelajarnya berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain yang terdiri daripada latar belakang agama dan bangsa yang berbeza seperti Iban, Kadazan Dusun dan lain-lain kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Hal ini tidak sedikit pun menyebabkan mereka merasa tidak mesra dan tidak serasi dengan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Berbagai aktiviti telah diadakan oleh pihak UiTM seperti Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) untuk merapatkan jurang antara pelajar dengan masyarakat dan kaum-kaum lain.




Akhir kalam, UiTM juga dikenali sebagai "Universiti Ini Tolong Melayu". Kalau tidak UiTM, institusi manakah yang akan menolong bangsa Melayu di negara ini? Hanya UiTM wadah perjuangan orang Melayu dalam melahirkan mahasiswa mahupun bangsa yang akan mencetus aspirasi kepada pembangunan negara. Jangan Melayu tergadai tanpa pembelaan. Kalau kita orang Melayu, jangan menafikan keistimewaan kita. Fikir-fikirkanlah.

UiTM Tetap di hatiku!